Monday 9 April 2012

TINGKATAN 5 : BAB 5 PERGUDANGAN


BAB 5 :   PERGUDANGAN
MAKSUD
i.                     Aktiviti penyimpanan dan penstoran barang-barang di tempat yang sesuai dan selamat sehingga barang-barang berkenaan diedarkan ke pasaran
ii.                    Gudang biasanya terletak di lapangan terbang, stesen kereta api, pelabuhan atau di tempat pengeluaran, pemborong dan peruncit.

 

PERANAN PERGUDANGAN

1.        Pengeluaran secara besar-besaran dapat dijalankan
Pengeluar dapat mengeluarkan barang-barang dalam kuantiti yang banyak sebelum ianya di minta oleh pembeli, sementara menunggu permintaan dan jualan, barang tersebut boleh disimpan di dalam gudang
2.        Bekalan barang terjamin sepanjang tahun
Sesetengah barangan terutamanya barang pertanian dikeluarkan secara bermusim.  Bagi memenuhi permintaan yang berterusan, barangan tersebut akan disimpan dalam gudang dan dikeluarkan sedikit demi sedikit sepanjang tahun.
3.        Menstabilkan harga barang
Pergudangan membantu menstabilkan harga barang-barang dengan menyelaraskan penawaran dan permintaan  barang-barang, iaitu barangan yang berlebihan disimpan dalam gudang dan dikeluarkan apabila terdapat kekurangan di pasaran.
4.        Tempat menyimpan barang secara selamat
Barang-barang yang disimpan dalam gudang dilindungi daripada cuaca buruk.  Disamping penggunaan peralatan yang canggih seperti alat penggera yang boleh menjamin keselamatan barang di dalamnya.
5.        Memudahkan perniagaan entrepot
Dengan adanya gudang berbon, membolehkan barang-barang yang diimport untuk dieksport semuala disimpan dalam gudang.  Ia dapat membantu peniaga entrepot daripada membayar duti import
6.        Barang dapat dipamerkan
Barang-barang yang terdapat dalam gudang boleh dipamerkan supaya pembeli dapat memeriksa barangan sebelum membeli, contoh gudang bayar dan bawa
7.        Membolehkan kerja-kerja akhir dilakukan
Sebelum barang-barang dijual kepada peruncit, gudang boleh dijalankan tempat memecah pukal serta melakukan kerja-kerja akhir seperti menggred, menimbang, membungkus dan menjenamakan barang.
8.        Mengelakkan pembaziran dan kerosakan barang-barang.
Barang-barang yang tidak tahan lama dan berlebihan seperti hasil pertanian boleh disimpan di dalam gudang penstoran sejuk.  Keadaan ini dapat mengelakkan kerosakan dan pembaziran barang-barang.

 

JENIS-JENIS GUDANG

Gudang dibahagikan kepada
a.        gudang persendirian, terdiri daripada gudang peruncit, gudang pemborong, penstoran sejuk, gudang pengilang, dan gudang bayar dan bawa
b.        gudang awam
c.        gudang kerajaan
d.        gudang berbon
1.        Gudang peruncitan
Dimiliki oleh peruncit besar-besaran untuk menyimpan barang-barang yang dibeli secara pukal daripada pengeluar.  Seperti pasar raya, gedung aneka jabatan dan kedai sejaras.  Mereka akan melakukan kerja-kerja akhir dan memecah pukal dalam gudang tersebut.
2.        Gudang pemborong
Dimiliki oleh pemborong untuk menyimpan barang-barang yang dibeli secara pukal daripada pengilang atau pengeluar.  Pemborong akan melakukan kerja-kerja akhir dalam gudang tersebut.
3.        Penstoran sejuk
Gudang yang dilengkapi dengan alat hawa dingin.  Ia digunakan untuk menyimpan barang-barang yang tidak tahan lama seperti buah-buhan, sayur-sayuran, daging dan ikan
4.        gudang pengilang
Dimiliki oleh pengilang untuk menyimpan bahan mentah dan separuh siap yang digunakan dalam proses pengeluaran serta menyimpan barang-barang siap
5.        Gudang bayar dan bawa
Dikendalikan oleh pemborang untuk menjual barang-barang secara pukal kepada peruncit dengan harga yang murah.  Jualan dilakukan secara layan diri.  Peruncit terpaksa menyediakan sendiri pengangkutan dan perlu membayar secara tunai
6.        Gudang awam
Dimiliki oleh kerajaan atau pihak swasta untuk menyimpan barang-barang yang tidak dikenakan cukai atau cukainya telah dijelaskan.  Ia terletak di pintu masuk sesebuah negara.  Gudang ini turut disewakan kepada peniaga-peniaga
7.        Gudang kerajaan.
Dimiliki oleh kerajaan yang diletakkan di bawah badan-badan tertentu seperti FAMA dan LKIM.  Gudang ini akan disewakan kepada peniaga untuk menyimpan barang-barang mereka.
8.        Gudang berbon.
Untuk menyimpan barang-barang yang dikenakan duti tetapi dutinya belum dibayar.  Gudang berbon terdiri daripada
Gudang kastam- dimiliki kerajaan di bawah kawalan Jabatan Kastam dan Eksais dan
Gudang berlesen dimiliki oleh pengusaha tetapi di bawah kawalan Jabatan Kastam dan Eksais.  Perkhidmatan gudang ini memudahkan perniagaan antara bangsa

KEPENTINGAN GUDANG BERBON KEPADA

 

Pengimport

1.        Membolehkan pembayaran duti ditangguhkan
Duti dibayar apabila barang tersebut dikeluarkan daripada gudang.  Oleh itu jumlah modal kerja yang terikat pada barang-barang dapat dikurangkan
2.        Membolehkan kerja-kerja akhir dilakukan.
Pengimport boleh memecah pukal, menggred, membungkus, menjenama dan sebagainya ke atas barang-barang yang disimpan dalam gudang.
3.        Memudahkan barang dijual.
Barang-barang dalam gudang boleh dijual oleh peniaga secara sekali gus atau sedikit-sedikit dan pembeli yang akan membayar cukai import tersebut.
4.        Membantu perniagaan enterpot. 
Gudang ini boleh menyimpan barang-barang yang diimport untuk dieksport semula.  Ini dapat mengelakkan peniaga daripada membayar duti import.

 

Pengeksport

1.        Menyelesaikan masalah pergudangan.
Boleh menyimpan barang-barang yang hendak dieksport sementara menunggu di dipunggah ke dalam kapal.
2.        Mengelakkan modal kerja terikat kepada duti.
Meringankan beban kewangan perngeksport kerana duti eksais tidak perlu dibayar apabila barang-barang buatan tempatan yang akan dieksport disimpan dalam gudang ini.
3.        Membantu perniagaan enterpot. 
Membantu pengeksport menjalankan perniagaan entrepot.  Kerana barang-barang yang diimport boleh dieksport semula tanpa membayar duti.  Sementara itu, pengeksport boleh melakukan kerja-kerja akhir ke atas barang import yang hendak dieksport semula.

Kerajaan.
1.        Memudahkan pengutipan cukai.
Barang-barang hanya boleh dikeluarkan apabila cukai dijelaskan, ini dapat mencegah sebarang pengelakan duti kastam.
2.        Memudahkan pemeriksaan barang import.
Pihak Jabatan Kastam dan Eksais dapat mengawal dan memeriksa barang yang diimport.  Ini memudahkan kawalan ke atas kemasukan barang-barang haram atau yang tidak dibenarkan.
3.        Mencegah pengelakan duti kastam.
Barang –barang yang diimport perlu disimpan dalam gudang berbon sehingga dutinya dijelaskan.  Keadaan ini dapat mencegah pengelakan duti kastam oleh pengimport.
4.        Memudahkan data-data perniagaan dikumpulkan.
Membolehkan kerajaan mengumpul maklumat atau data-data barang-barang import dan eksport.  Ini memudahkan pihak kerajaan menyelaraskan import dan eksport negara.

 

PERBEZAAN ANTARA GUDANG BERBON DENGAN GUDANG-GUDANG LAIN

Gudang berbon

1.        gudang dimiliki oleh kerajaan dan pemilik swasta
2.        gudang berbon menyimpan barang-barang import dan eskport atau barang-barang diletakkan dalam bon
3.        gudang berbon menyimpan barang-barang yang dikenakan duti tetapi dutinya belum dijelaskan.  Biasanya dimiliki oleh pengimport dan pengeksport.
4.        Gudang berbon dikuasi dan dikawal oleh Jabatan Kastam dan Eksais.
5.        Barang-barang dalam gudang berbon tidak boleh dikeluarkan sehingga dutinya dijelaskan.  Barang-barang dapat dikeluarkan apabila mendapat kebenaran atau dengan kehadiran pegawai kastam
6.        Biasanya gudang berbon terletak di pintu masuk negara, seperti pelabuhan, stesen kereta api dan lapangan terbang.
7.        Pemilik gudang perlu menandatangani perjanjian (bon) dengan Jabatan Kastam dan Eksais  untuk menjamin supaya barang-barang tidak boleh dikeluarkan tanpa menjelaskan dutinya.

Gudang-gudang lain

1.        Gudang dimiliki secara persendirian oleh peruncit, pemborong dan pengilang
2.        Gudang-gudang lain menyimpan barang-barang keluaran tempatan, eksport dan import
3.        Gudang-gudang lain menyimpan barang-barang yang tidak dikenakan duti atau dutinya telah dijelaskan sebelum dijual oleh peniaga atau pengilan.
4.        Gudang-gudang dikuasai dan dikawal oleh pemilik itu sendiri.
5.        Membolehkan pemilik gudang mengeluarkan barang-barang pada bila-bila masa mengikut permintaan pengguna
6.        Gudang-gudang bebas diletakkan di mana-mana sahaja, asalkan dapat memberi kemudahan kepada pengguna.
7.        Pemilik gudang tidak perlu menandatangani perjanjian dengan Jabatan Kastam dan Eksais.  Membolehkan mereka tidak terikat dengan Jabatan Kastam dan Eksais.  Pemilik gudang hanya perlu mendapatkan lesen daripada kerajaan.

 

CIRI-CIRI GUDANG YANG BAIK

1.        Pengurusan dan sistem rekod yang baik
Gudang yang baik perlu mempunyai sistem rekod yang lengkap dan teratur, segala aktiviti keluar masuk barang direkodkan dalam buku stok ataupun komputer
2.        Keselamatan yang kukuh.
Barang-barang yang disimpan perlu dilindungi daripada risiko kerosakan, kebakaran dan kecurian.  Seperti menyediakan alat pencegah api, pengawal keselamatan dan alat penggera
3.        Kesesuaian gudang dengan barang.
Iaitu barang yang cepat rosak seperti daging perlu disimpan dalam gudang penstoran sejuk.  Sementara gudang berbumbung tanpa dinding sesuai untuk menyimpan kayu dan papan.  Hal ini dapat menjamin keselamatan barang.
4.        Ruang dan susunan barang
Setiap gudang perlu mempunyai ruang yang luas, membolehkan barang-barang disusun dengan teratur dan kemas seta memudahkan kerja-kerja akhir dilakukan dalam gudang tersebut.
5.        Alatan dan mesin yang canggih.
Membolehkan barang-barang disimpan dan dikeluarkan dengan mudah.  Kelengkapan khas seperti trak pengangkut, forklif dan troli digunakan untuk mengendalikan barang-barang dengan cepat, cermat dan selamat
6.        Lokasi yang strategi. 
Iaitu di tempat senang dihubungi oleh semua pihak yang terlibat.  Seperti pelabuhan, stesen kereta api dan lapangan terbang.